HALAMAN SANTAI

MINI MUZIUM WAK SURGI ( LAWATAN )


MINI MUZIUM WAK SURGI
TAMAN SETIA JAYA, SUNGAI BESAR, SELANGOR
TELEFON : 010- 4304 932.


1. PENGENALAN :

MINI MUZIUM WAK SURGI merupakan milik persendirian kepada Encik Surgi bin Gharib yang pernah menetap di kawasan perumahan Taman Setia Jaya, Sungai Besar , Selangor. Mini muzium tersebut adalah terletak di rumah beliau sendiri yang sudah tidak didiami lagi ( kerana beliau telah berpindah ke rumah lain di kawasan perumahan Air Manis, Tebuk Pulai ).

2. MINAT :

Encik Surgi adalah seorang pesara kerajaan di Pejabat Daerah Sabak Bernam , berminat mengumpulkan barang-barang lama sejak beliau masih bersekolah lagi dan berterusan hingga beliau bersara. Selepas bersara beliau telah menumpukan sepenuhnya kepada pengurusan mini muzium sedia ada, sebagai mengisi waktu lapang.

3. KREATIF:

Selain mengumpulkan barang-barang lama, Encik Surgi adalah seorang yang kreatif. Ini dapat dilihat dengan usaha beliau mewujudkan beberapa replika , seperti peti nyanyi, kapal terbang tentera, helikopter dan lain-lain. Beliau juga kreatif mengumpul gambar-gambar lama yang ditemui untuk dipaparkan / dicetak semula.

4. MODAL SENDIRI:

Bagi mewujudkan sebuah mini muzium, Encik Surgi hanya menggunakan wang sendiri tanpa bantuan dari mana-mana pihak. Kebanyakan barang-barang lama yang terdapat dalam mini muzium tersebut dibeli oleh beliau sendiri daripada pihak lain ; selain terdapat juga barang yang dihadiahkan oleh orang perseorangan atau dipinjamkan oleh mereka yang bersimpati. Kerana itu, bagi mewujudkan sebuah mini muzium yang ada pada hari ini Encik Surgi telah berusaha gigih hampir 10 tahun lamanya !.

5. BARANG LAMA DALAM SIMPANAN:

MINI MUZIUM WAK SURGI bukanlah sebuah ’ muzium ’ serba lengkap. Namun , berbagai-bagai barang lama ada tersimpan untuk tatapan generasi muda hari ini. Di antaranya ialah : Berbagai jenis kamera, projektor wayang gambar, ratusan keping piring hitam lagu-lagu Melayu , Hindustan dan Arab, berbagai jenis mesin taip, alat-alat perhubungan telefon, serpihan barangan tembikar lama , pakaian tradisional Melayu , alat rakaman suara, barangan elektrik lama, alat senjata tradisional, perkakas kerja pertanian, sampan pengangkutan dan juga buku-buku cerita serta buku teks sekolah zaman ‘ Sekolah Melayu ’  serta berbagai majalah lama dalam bahasa Melayu.

6. HARAPAN JANGKA PANJANG:

Encik Surgi menaruh harapan dan bercita-cita melengkapkan mini muzium beliau bukan sahaja untuk menyimpan khazanah barangan lama, tetapi berminat juga menjadikan kawasan mini muziumnya sebagai tempat berehat bagi mencari ketenangan fikiran.

Sebagai usaha ke arah itu , beliau sekarang sedang melengkapkan dan menyiapkan kolam ternakan ikan dan kandang peliharaan haiwan seperti ayam serama, arnab dan burung.

7. SAMBUTAN PELAWAT:

Walaupun  MINI MUZIUM WAK SURGI tanpa ‘ promosi ‘ secara meluas , masih ada individu dari luar daerah secara kebetulan, datang melihat dan menyaksikan hasil usaha gigih beliau tersebut. Sama ada datang secara persorangan ,berkeluarga atau secara berkumpulan terdiri daripada kalangan guru dan pelajar-pelajar sekolah.

Sejak kebelakangan ini pula, MINI MUZIUM WAK SURGI telah dijadikan salah satu lokasi lawatan kepada pelawat-pelawat Homestay JKKK Kampong Sungai Haji Dorani, dalam usaha mempopularkannya secara lebih meluas lagi kepada pelawat yang datang dari luar daerah Sabak Bernam dan negeri-negeri di Malaysia.



Pondok ' araman ' di halaman Mini Muzium Wak Surgi.


Ratusan piring hitam lagu-lagu Melayu , Arab dan Hindustan
masih dalam keadaan baik

Berbagai jenis mesin taip turut disimpan di mini muzium ini

Replika rumah kampung

Replika ' peti nyanyi ' tahun 50an.

Peti nyanyi mewah tahun 60an

Replika helikopter polis yang dibuat oleh Wak Surgi.

Alat membuang hampa padi yang diguna oleh pesawah
dalam tahun 40 an dan 50an

Alatan telefon yang digunakan oleh kebanyakan pejabat
kerajaan dalam tahun 50an dahulu.
Gelang kaki dan rantai leher wanita Melayu.
Mahasiswa UPM, Cik Lerine Jok ( tiga dari kiri ) datang membuat kajian
Homestay JKKK dan Mini Muzium Wak Surgi ( kanan sekali )

Mahasiswa Universiti Malaya mencuba kamera dan perakam video
di Mini Muzium Wak Surgi.

Kumpulan pengkaji suku kaum Jawa dari Universiti Malaya
turut membuat lawatan ke Mini Muzium Wak Surgi.