RUMAH TRADISIONAL ( LAWATAN )




RUMAH TRADISIONAL /
UKIRAN KAYU


1. PENGENALAN:

RUMAH TRADISIONAL UKIRAN KAYU merupakan salah satu lokasi lawatan HOMESTAY JKKK yang baru diwujudkan pada tahun 2012. Ianya bertujuan untuk memperkenalkan secara lebih dekat kepada para pelawat berhubung rupa bentuk ' rumah kampung ' yang sebenar.

Selain dari bahagian luaran yang masih kekal dengan ciri-ciri kehidupan masyarakat / rumah kampung, di bahagian dalaman rumah tersebut juga adalah sama seperti demikian, malah ditambah pula dengan keindahan berbagai ukiran dari kayu yang sukar disaksikan di kebanyakan rumah kampung sekarang !.

Rumah tersebut merupakan JOHAN PERTANDINGAN RUMAH TRADISIONAL peringkat Daerah Sabak Bernam bagi tahun 2011 dan NAIB JOHAN PERTANDINGAN RUMAH TRADISIONAL bagi peringkat Negeri Selangor pada tahun tersebut.


2. LOKASI DAN PEMILIK RUMAH:

RUMAH TRADISIONAL UKIRAN KAYU terletak di Kampong Sungai Limau, berhampiran dengan Kampong Sungai Haji Dorani , Sungai Besar. Rumah tersebut dimiliki oleh bekas seorang ' ahli asnaf ' ( Penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor ) yang gigih dalam mengubah taraf hidup sekeluarga iaitu Encik Nizam bin Mohd.Azhar .

Berbekalkan kelulusan dan kemahiran dalam bidang vokasional ( Pertukangan / Ukiran kayu ) dibantu oleh isterinya , Puan Arpah binti Safawi , yang turut berkemahiran dalam bidang menjahit pakaian, Encik Nizam telah berjaya ' keluar  dari golongan asnaf ' dan hidup berdikari bersama dengan empat orang anak mereka yang kesemuanya masih bersekolah.


3. KEMAHIRAN JADI SUMBER PENDAPATAN:

Encik Nizam yang berkelulusan SPVM,  selain dari mengisi masa lapang dengan mengindahkan rumah kediamannya dengan berbagai ukiran kayu dibahagian luar bangunan dan dalaman rumah , beliau juga adalah pemilik sebuah bengkel ukiran kayu yang terletak berhampiran rumahnya, dibantu oleh beberapa orang pekerja.

Melalui bengkel ukiran kayu tersebut Encik Nizam berjaya memenuhi berbagai tempahan daripada penduduk tempatan dan juga pelanggan luar. Kerjaya tersebut menjadikan beliau ada pekerjaan tetap secara berdikari dengan mempunyai pendapatan yang memuaskan .


4. HARAPAN:

Sebagai seorang yang mempunyai cita-cita dan tabah dalam menempuh masalah kehidupan sekeluarga, Encik Nizam berhasrat untuk mengubahsuai / membesarkan bangunan bengkel ukiran kayu sedia ada kepada yang lebih selesa di samping melengkapkan peralatan keperluan bengkelnya bagi memenuhi permintaan atau tempahan para pelanggan.

Beliau juga sentiasa mengalu-alukan kedatangan para pelawat , sama ada untuk menyaksikan rumah tradisional  ataupun bengkel ukiran kayu miliknya.


CATATAN :

Encik Nizam menerima tempahan berbagai jenis ukiran kayu bagi semua bahagian rumah , seperti ukiran tingkap, pintu, tangga , ruang tamu, bilik dan lain-lain. Termasuk juga alatan perhiasan seperti kotak lampu, peti surat, bingkai gambar, penyidai sejadah solat dan seumpamanya. Beliau boleh dihubungi melalui talian 019-2825 038


PANORAMA 
RUMAH TRADISIONAL /
UKIRAN KAYU



Rumah Tradisional / Ukiran Kayu yang sering menjadi kunjungan
pelawat Homestay JKKK Sungai Haji Dorani.


Ukiran kayu terdapat pada bahagian pintu rumah bahagian dapur.


Buaian dengan ukiran kayu terdapat di halaman rumah.



Seorang pembantu bengkel sedang membuat ukiran kayu
diperhatikan oleh beberapa murid sekolah yang membuat lawatan.


Beberapa ukiran kayu yang siap dibuat di bengkel kayu Encik Nizam.


Contoh beberapa ukiran kayu yang dihasilkan oleh 
Encik Nizam untuk pilihan pelanggan.


Murid-murid ini
mengabadikan gambar kenangan semasa datang melawat 
Rumah Tradisional / Ukiran Kayu .


Encik Nizam , isteri dan dua orang anak beliau
bergambar kenangan bersama kumpulan pengkaji rumah tradisional,
Diploma Seni Bina UiTM Seri Iskandar, Perak.


Encik Nizam menerima sumbangan hamper daripada
ketua kumpulan pengkaji rumah tradisional.


Encik Nizam dan keluarga di hadapan rumah mereka.


Penyelia Homestay JKKK turut menerima sumbangan hamper
kerana kerjasama dalam kajian rumah tradisional kepada kumpulan
Diploma Seni Bina , UiTM Seri Iskandar, Perak.